Rabu, 10 Oktober 2012

CUKUP-CUKUP SUDAH....

Boleh saya bantu....
As Salam dan selamat sejahtera. Kepengakapan dan perkhemahan adalah dua perkara yang sungguh sinonim seperti irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan. Sejak daripada dulu lagi itulah persepsi masyarakat terhadap ahli pengakap. Sebuah pertubuhan yang sering dikaitkan dengan perkhemahan.

Pergerakan Pengakap diseluruh dunia yang telah diasaskan oleh Baden Powell (BP) merupakan seorang tentera British, telah menggunakan khidmat kanak-kanak untuk meninjau pergerakan dan kehadiran musuh semasa berkhidmat di Kenya. Kanak-kanak tersebut diajarkan dengan ilmu-ilmu kepengakapan dan perkembangan ilmu tersebut yang berasal daripada ilmu ketenteraan telah dipraktikkan di dalam aktiviti kepengakapan dan perkhemahan di seluruh dunia.  

Menyertai aktiviti perkhemahan memang menyeronokkan dan secara amnya ia meningkatkan kekuatan fizikal dan mental. Secara tidak langsung aktiviti ini juga akan mendidik kita cara berdikari, kerjasama dalam satu pasukan, bersatu padu, hormat menghormati dan sebagainya.

Tetapi perkhemahan dalam kepengakapan pula bukan sekadar perkara yang dinyatakan tadi. Perkhemahan diadakan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti kepengakapan, sesuai dengan kehendak sukatan skim latihan mengikut unit dan meningkatkan kemahiran dan persediaan sebagai syarat untuk  ke Pentarafan Pengakap Raja. Pelbagai aktiviti kepengakapan boleh dijalankan semasa aktiviti perkhemahan dijalankan.

Para pembaca yang budiman, sejak akhir-akhir ini didapati tidak ramai daripada ahli pengakap yang layak dan mampu untuk mengikuti Pentarafan Pengakap Raja. Mereka ini tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi, kurang bimbingan,dorongan dan penerangan daripada pemimpin untuk ke Pentarafan Pengakap Raja.


Gambar sekadar hiasan


Hasil daripada pengamatan SP, didapati aktiviti perkhemahan dan kemahiran tidak begitu dititikberatkan oleh pemimpin pengakap di sekolah dimana aktiviti tersebut bolehlah SP katakan merupakan teras utama kepengakapan.  Banyak aktiviti kemahiran kepengakapan boleh dijalankan. Sebaliknya pemimpin lebih gemar melihat atau membiarkan ahli pengakap berkawad sepanjang masa, setiap kali perjumpaan diadakan.

Bagi SP itu tidak betul dan perlu dielakkan. SP tidak pasti adakah itu kehendak pengurusan sekolah atau sebagainya. Bagi SP berkawad yang sememangnya tiada diberi sijil dan lencana, hanyalah mendapatkan kepujian kepada sekolah tersebut bukannya ahli pengakap itu sendiri. Jadi rugilah kepada individu tersebut. SP memohon maaf jika pendapat SP ini salah atau mengguris perasaan pembaca diluar sana. Pengakap berkawad kerana kita adalah pasukan beruniform yang mendisiplinkan.

Tahukah anda pergerakan pengakap di kebanyakan negara di dunia tidak bergerak di dalam sekolah. Pergerakan kepengakapan mereka bergerak di dalam masyarakat. Oleh itu ada kumpulan di peringkat kampung, pekan, bandar, organisasi kerja dan sebagainya. Pergerakan kepengakapan di Malaysia dibawa masuk oleh F. C. Sands ke Tanah Melayu yang pada ketika itu berkhidmat di bahagian pendidikan di Tanah Melayu. Dari situlah pergerakan pengakap di Malaysia bermula dan berkembang.

Hari ini kebanyakan kita masih bergerak di sekolah-sekolah. Hanya segelintir kumpulan terpencil yang bergerak dalam masyarakat iaitu Pengakap Kelana. Pengakap Kelana pasti pernah mendengar dialog seperti ini. “ Eh, awak masih menyertai pergerakan pengakapkah?”. Di mana pada waktu itu anda sudah tamat alam persekolahan. Ini adalah persepsi masyarakat.

Tempoh perjumpaan mingguan di sekolah juga semakin pendek iaitu dua jam sahaja (kalau salah mohon maaf). Sebulan 2 kali pula. Kalau setahun, paling banyak pun 24 kali sahaja. Itu belum halangan cuti perayaan, agenda disekolah dan sebagainya. Masa yang singkat jika tidak dimanfaatkan pasti merugikan akibat melakukan aktiviti berkawad secara keterlaluan. Jadi bagaimana hendak ke pentarafan Pengakap Raja? Ahli pengakap juga  perlu ada inisiatif sendiri dalam mencari ilmu untuk ke Pentarafan Pengakap Raja dan jangan terlalu bergantung kepada pemimpin.
  
Kepada Pemimpin rancang, bimbing dan buatlah aktiviti untuk ahli pengakap di kumpulan. Pastikan sistem berpatrol itu dijalankan di kumpulan. Menjalankan Mesyuarat Majlis Ketua-Ketua Patrol. Rancanglah aktiviti perkhemahan kerana melalui aktiviti perkhemahanlah berbagai jenis aktiviti dan kemahiran kepengakapan dapat dijalankan. 

Pelbagai aktiviti boleh dipraktikkan seperti ilmu tali temali, buat gadjet, ikhtiar hidup, projek perintis, pertolongan cemas, sistem patrol, sistem pengkalan, permainan dan nyanyian dan sebagainya dalam satu masa. Dengan yang demikian ahli pengakap akan mendapat kemahiran yang mencukupi seterusnya bolehlah dicalonkan untuk ke Pentarafan Pengakap Raja sekiranya layak. Sebarang kesulitan rasanya bolehlah merujuk kepada pasukan latihan di daerah masing-masing.


Calon Pengakap Raja kena buat tempat tidur semasa Pentarafan....


Kepada pembaca yang budiman, siapalah SP untuk dibandingkan dengan anda. Cuma SP nak berkongsi pendapat dan pengalaman yang tak seberapa. Mudah-mudahan menjadi manfaat kepada semua.  Jangan kita saling menyalah. Gunakanlah ilmu kepengakapan dan kembangkanlah kepada semua ahli pengakap tak kira dimana jua anda berada. Jumpa anda di puncak kejayaan. Anda buat, anda dapat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan